Sabtu, 15 Ogos 2015

Proses Pembentukan Malaysia



Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

  • Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.
  • Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Bruneimenganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.


Suruhanjaya Cobbold

  • Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
  • Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

    •  1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan  tanpa syarat
    • 1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
    • 1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.



Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

  • Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.
  • Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :
    • Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
    • Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.
    • Kuasa kawalan imigresen di Sabah danSarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawakbahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
    • Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
    • Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.


Referendum Singapura

  • Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.
  • Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :
    • Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
    •  Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
    • Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayah Borneodengan penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).


aa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan